Latar Belakang
Persidangan NWICE 2024 merupakan persidangan kebangsaan kali ke-2 anjuran Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) sejak 2013. Persidangan ini secara amnya bertujuan untuk berkongsi kepakaran, pengalaman dan teknologi terkini dalam membangunkan infrastruktur air dan pembetungan negara ke peringkat antarabangsa serta mempamerkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan daripada sektor air dan pembetung.
JPP akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan organisasi lain sebagai penganjur utama persidangan, seperti Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Bekalan Air (JBA), dan Persatuan Teknologi Trenchless Malaysia (MATT), bagi menjayakan persidangan NWICE 2024 kali ini.
Kerjasama ini dijangka akan meningkatkan lagi bilangan pembentangan kertas teknikal, serta bilangan produk dan perkhidmatan air dan pembetungan daripada pembekal domestik dan antarabangsa. Ia juga akan meningkatkan bilangan peserta dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, agensi kerajaan dan swasta, aktivis industri air, dan pelajar dari institusi pengajian tinggi.
Pembentangan kertas teknikal pada persidangan ini adalah merupakan usaha berterusan bagi memberi ruang dan peluang kepada aktivis sektor air dan pembetungan untuk bertukar kepakaran, pandangan dan maklumat terkini tentang sains, teknologi dan amalan terbaik. Tambahan pula, persidangan ini berfungsi sebagai forum untuk penyelidikan dan pembangunan infrastruktur air rangkaian dan pembetung komuniti. Persidangan ini akan memberikan peserta dan tetamu lebih pendedahan kepada sektor air dan pembetungan dengan mempamerkan pelbagai hasil produk kreatif yang telah dihasilkan dan barangan yang ada di pasaran.
Kertas-kertas teknikal yang dikemukakan untuk pembentangan di persidangan NWICE 2024 akan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang dilantik di kalangan profesional dan ahli akademik. Untuk persidangan NWICE 2024, tugas utama Jawatankuasa Teknikal adalah untuk meneliti ke semua kertas teknikal yang diterima agar ianya memenuhi objektif dan ouput persidangan ini.